Membeli laptop baharu, refurbished, atau terpakai adalah keputusan penting yang memerlukan pertimbangan teliti. Setiap pilihan mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.
Mari kita baca perbezaan antara ketiga-tiga kategori ini untuk membantu anda membuat keputusan yang tepat semasa membeli laptop.
1. Laptop Baharu
Laptop baharu adalah peranti yang belum pernah digunakan oleh sesiapa dan datang terus dari pengilang atau penjual sah.
Ia biasanya dilengkapi dengan spesifikasi terkini, jaminan penuh, dan dalam keadaan fizikal yang sempurna.
Kelebihan Laptop Baharu:
i. Teknologi Terkini: Mempunyai spesifikasi dan ciri-ciri terbaru yang ditawarkan oleh pengilang.
ii. Jaminan Penuh: Biasanya datang dengan jaminan pengilang selama satu atau dua tahun, memberikan ketenangan minda kepada pembeli jika berlaku apa-apa kerosakan kepada perkakasan (hardware).
iii. Keadaan Sempurna: Tiada kesan penggunaan sebelumnya; semua komponen adalah baru. Orang kata, ‘koyak plastik’.
Kekurangan Laptop Baharu:
i. Harga Tinggi: Kosnya lebih mahal berbanding laptop refurbished atau terpakai.
ii. Penyusutan Nilai: Nilai laptop baharu menurun dengan cepat selepas pembelian. Sama juga halnya jika anda membeli kereta baru, boleh susut nilai antara 40% hingga 50% dalam masa 5 tahun jika dijual semula.
2. Laptop Terpakai (Second-Hand)
Laptop terpakai adalah peranti yang dijual oleh pemilik sebelumnya tanpa melalui proses pembaikan atau pemeriksaan profesional.
Keadaan dan prestasi laptop ini bergantung sepenuhnya kepada bagaimana ia digunakan dan diselenggara oleh pemilik terdahulu.
Kelebihan Laptop Terpakai:
i. Harga Paling Rendah: Biasanya dijual pada harga yang paling rendah berbanding laptop baharu atau refurbished. Pemilik lama jual rendah sebab nak ‘clear’ rumah dan tidak terlalu berkira kepada keuntungan.
ii. Tawar menawar Harga: Pembeli berpeluang untuk berunding harga dengan penjual sebab biasanya individu yang nak cepat jual barang.
Kekurangan Laptop Terpakai:
i. Keadaan Sedia Ada (As it is) – Anda menerima laptop dalam keadaan sedia ada tanpa sebarang penambahbaikan. Contohnya, laptop yang dijual tanpa charger. Jadi penjual akan menjual tanpa charger dan tidak membeli charger baru untuk anda.
ii. Tiada Jaminan: Kebanyakan laptop terpakai dijual tanpa sebarang jaminan, meningkatkan risiko kepada pembeli jika berlalu apa-apa kerosakan.
iii. Keadaan Tidak Pasti: Mungkin terdapat isu tersembunyi yang tidak dinyatakan oleh penjual.
iv. Kehidupan Bateri: Bateri mungkin sudah lemah atau memerlukan penggantian.
3. Laptop Diperbaharui (Refurbished)
Laptop refurbished merujuk kepada laptop terpakai yang telah melalui pemeriksaan kualiti yang ketat, pembaikan, peningkatan, dan pembersihan sebelum dijual semula.
Laptop refurbished menjalani proses ujian dan pemeriksaan yang teliti untuk memastikan ia memenuhi standard kualiti dan berfungsi dengan baik.
Proses pembaharuan biasanya merangkumi pemeriksaan, ujian, pemulihan, serta pemadaman sebarang data yang ditinggalkan oleh pengguna asal, sebelum dipulihkan kepada tetapan kilang.
Ia sering datang dengan jaminan terhad dan pada harga yang lebih rendah berbanding laptop baharu.
Saiz pasaran laptop refurbished telah berkembang dengan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sumber: thebusinessresearchcompany.com
Ia dijangka meningkat daripada $7.73 bilion pada tahun 2024 kepada $8.29 bilion pada tahun 2025 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 7.3%.
Pertumbuhan dalam tempoh sebelumnya boleh dikaitkan dengan kenaikan harga peranti baharu, perkembangan e-dagang, peningkatan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar, faktor ekonomi, proses pembaharuan yang lebih cekap, serta penerimaan dan kepercayaan yang semakin meningkat terhadap produk refurbished.
Kelebihan Laptop Refurbished:
i. Penjimatan Kos: Harga lebih rendah berbanding laptop baharu, menjadikannya pilihan menarik bagi mereka yang mempunyai bajet terhad.
ii. Jaminan Tambahan: Kebanyakan laptop refurbished datang dengan jaminan terhad seperti 1 – 3 bulan, memberikan keyakinan tambahan kepada pembeli.
iii. Penambahbaikan & Pemeriksaan Rapi: Telah melalui proses pemeriksaan dan pembaikan oleh profesional sebelum dijual semula seperti hardware upgrade dan driver update.
Kekurangan Laptop Refurbished:
i. Stok Terhad: Model dan spesifikasi mungkin terhad bergantung pada stok yang ada pada penjual sahaja. Anda perlu survey beberapa tempat jika ingin mencari spesifikasi tertentu.
ii. Sejarah Penggunaan: Mungkin pernah mengalami kerosakan atau isu sebelum diperbaiki.
Baca lagi: 5 Sebab Laptop Terpakai Lebih Berbaloi Berbanding Laptop Baru
4. Membuat Keputusan Membeli Laptop: Mana Satu Pilihan Terbaik?
Keputusan antara membeli laptop baharu, refurbished, atau terpakai bergantung kepada keperluan, bajet, dan toleransi risiko anda.
1. Bajet Besar & Mahukan Teknologi Terkini: Jika anda mempunyai bajet yang mencukupi dan ingin memastikan anda mendapatkan teknologi terkini dengan jaminan penuh, laptop baru adalah pilihan terbaik.
2. Bajet Sederhana & Mahukan Jaminan: Jika anda ingin menjimatkan wang tetapi masih mahukan jaminan dan peranti yang telah diperiksa profesional, pertimbangkan untuk membeli laptop refurbished.
3. Bajet Terhad & Sanggup Ambil Risiko: Jika bajet anda sangat terhad dan anda sanggup mengambil risiko tanpa jaminan, laptop terpakai mungkin sesuai.
Walau bagaimanapun, pastikan anda memeriksa peranti dengan teliti sebelum membeli.
5. Tips Membeli Laptop Refurbished atau Terpakai
Jika anda memutuskan untuk membeli laptop refurbished atau terpakai, berikut adalah beberapa tips untuk membantu anda membuat pilihan yang bijak:
1. Periksa Keadaan Fizikal: Pastikan tiada kerosakan fizikal seperti retak pada skrin, kekunci yang hilang, atau port yang rosak.
Jangan terlalu tergesa-gesa membuat keputusan walaupun harganya murah. Anda boleh cari dan survey di tempat lain dengan spesifikasi yang sama.
2. Uji Prestasi dan Kemampuan Laptop: Cuba jalankan beberapa aplikasi untuk memastikan laptop berfungsi dengan baik dan tiada isu prestasi.
Ini kerana sesetengah laptop yang terlalu lama tidak boleh menjalankan aplikasi atau sistem yang terkini kerana kekangan perkakasan (hardware) yang tidak boleh tampung (support).
3. Semak Hayat Bateri: Tanya penjual mengenai keadaan bateri dan berapa lama ia boleh bertahan dengan sekali cas.
4. Periksa Jaminan: Untuk laptop refurbished, pastikan terdapat jaminan sekurang-kurangnya 1 hingga 3 bulan.
5. Beli Dari Penjual yang Dipercayai: Pastikan anda membeli dari penjual atau platform yang mempunyai reputasi baik untuk mengurangkan risiko penipuan. Jika boleh berjumpa dan buat COD lebih baik.
Kesimpulan
Memilih antara laptop baharu, refurbished, atau terpakai memerlukan pertimbangan terhadap bajet, keperluan, dan toleransi risiko anda.
Setiap pilihan mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri. Dengan maklumat yang tepat dan pertimbangan yang teliti, anda dapat membuat keputusan yang sesuai dengan keperluan dan bajet anda.
Sumber: azaraslan.com